25 October 2011

Antara hernia dan pusat....ujian buatmu sayang

Alhamdulillah pagi tadi Nuruddin Al-Zinki berjaya dibawa ke Hospital untuk temujanji dengan doktor pakar. Namun kali ini bukan dengan doktor kanak-kanak(respirasi) tetapi bahagian pembedahan kecil(am). Ini temujanji kedua setelah kali pertama kira-kira 6 bulan lepas. Sebelum ini dikatakan terdapat benjolan hernia (angin pasang) pada Nuruddin Al-Zinki dan akan timbul terutama ketika menangis atau batuk kuat. 

Terus aktif namun berat badan kekal...

Hari ini kami mendapat dua berita. yang pertama doktor setakat ini memberikan pengesahan positif tiadanya lagi benjolan hernia itu tetapi tetap akan diperhatikan pada pertemuan temujanji akan datang. Dan berita keduanya, benjolan pada pusat Nuruddin Al-Zinki menarik minat doktor dan hasilnya didapati ada lubang dibawah bahagian lapisan pusatnya(ada lapisan yang tidak bercantum), Maksudnya sekiranya dibiarkan terbuka yakni tidak bercantum sendiri, kemungkinan akan berlaku tersumbat iaitu sama ada usus kecil atau lemak boleh tersangkut di dalam lubang berkenaan. Doktor mengesyorkan untuk melakukan pembedahan bagi menutup lubang tersebut namun memberi sedikit masa lagi untuk dilihat perkembangan sama ada ianya mampu ditutup secara sendiri atau tidak.

Nuqman (abg lang) sentiasa menemani dan menjaga adiknya Al-Zinki...

Doakan segala ujian buat anak kecil kami dipermudahkan dan insyaAllah pada bulan depan ada pertemuan dengan doktor pakar (respirasi) untuk melihat perkembangan paru-parunya pula. Setiap yang diujiNya itu pasti ada hikmah disebaliknya. Mudah-mudahan kami mampu menggapai hikmahnya dan tidak menjadi orang-orang yang tidak bersyukur. Amin....

20 October 2011

Kristianisasi bukan isu kecil, masyarakat keliru

via ISMAWeb by admin on 10/19/11


Ustaz Muhammad Fauzi B. Asmuni, Naib Presiden II ISMA


BANGI, 19 Okt. – Isu pemurtadan melalui agenda kristianisasi bukanlah isu kecil atau remeh, tegas Naib Presiden II Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi B. Asmuni, ketika diminta mengulas kenyataan akhbar Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dr. Abd Rani Osman berhubung Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) Sabtu ini.

Dr. Abd Rani telah dipetik Harakahdaily sebagai berkata, “Biarpun Kristianisasi adalah satu ancaman, namun ancaman lebih besar yang sedang merosakkan akidah majoriti rakyat di negara ini adalah doktrinasi fahaman perkauman, sekularisme dan materialisme”. 

Naib Presiden II ISMA itu berhujah bahawa “Menjaga agama adalah kewajipan nombor satu umat Islam. Ia terletak di nombor satu dalam susunan ‘dharuriat khamsah’ (lima perkara asas yang perlu dipelihara sebagai tiang kehidupan muslim). Ini telah disepakati oleh ramai ulama muktabar termasuk Imam As-Syatibi, Abu Zuhroh dan lain-lain”.