06 February 2010

KOBANNA mengangkasa dan membumikan pemikiran Hasan Al-Banna

**Post ini diambil dari ismaweb.net**

Konvensyen Pemikiran Hasan al-Banna Dalam Melakar Agenda Bangsa telah mencetuskan satu anjakan baru ke arah merealisasi dan membumikan idea pemikiran Hasan al-Banna dalam realiti Nusantara khususnya bumi Malaysia. Relevansi pemikiran Imam Hasan al-Banna boleh dilihat dari ketiga-tiga pembentangan kertas kerja yang menjurus kepada analisa sosio-politik negara Mesir, sejarah pertembungan ideologi Barat yang ditunjangi oleh aliran Humanisme sehingga mencetus gerakan tajdid dan nahdah yang dipelopori oleh Hasan al-Banna.

Tempoh hidup beliau yang singkat tetapi sarat dengan idea-idea pembaharuan dan perubahan telah mengesani geo-politik Mesir dan negara-negara Arab. Bahkan gagasan dan wawasan beliau menebar ke seluruh pelusuk benua mencecah 90 buah cawangan Ikhwan Muslimun. Beliau saya ibaratkan ’satu jiwa berjuta hikmah… episodnya dahsyat full manfaat… wawasannya holistik dan memiliki idea broadfront (jalur ke depan), merentasi zaman dan umat’. Pemikiran beliau yang merentasi zaman dan keupayaan menganalisa waqie (realiti) adalah pra-syarat kejayaaan beliau mengemukakan projek membina peradaban. Kupasan ini boleh dilihat dari kertas kerja kedua yang bertajuk “Pandangan Hasan al-Banna Terhadap Agenda Pembangunan Ummah dan Pelaksanaannya di Malaysia” yang saya sendiri bertindak sebagai moderator.


Projek membangunkan agenda kekuatan bangsa menurut pemikiran beliau mestilah dilatari dengan qanun taghyir (undang-undang perubahan) sebagai pilar ke arah membina satu peradaban (boleh rujuk mukasurat 55-62). Bagi mencapai objektif tersebut, Hasan al-Banna telah menggariskan 4 komponen tumpuan stategik beliau iaitu:

1. Pelestarian dan pemerkasaan dakwah ke seluruh segmen masyarakat.

2. Memfokuskan usaha kaderisasi melalui tarbiyah yang muathirah (berkesan), muntijah (produktif) dan mubdi’ah (kreatif).

3. Penyertaan dalam institusi pembuatan dasar dan polisi negara melalui Nidhal Dusturi (perjuangan perlembagaan) samada menyertai pilihanraya, majlis-majlis kerajaan tempatan, institusi-institusi berpengaruh dan sebagainya.

4. Membina pasak kekuatan umat berorientasikan Jihad (rujuk Rukun Jihad / Risalah Muktamar Kelima / Risalah Jihad). Ikhwan menolak kaedah kekerasan bahkan menyeru kepada membina segala kekuatan yang mampu mengukuhkan sendi ketuanan umat.

Kertas kerja ketiga pula menyorot dilema politik Melayu Muslim, kemelut ketuanan bangsa selepas pasca PRU 12, isu negara bangsa, demokrasi, toleransi antara kaum dan isu wala wal bara. Kertas kerja ketiga ini cuba menilai isu semasa politik dan isu-isu yang menjadi titik pertikaian kaum berasaskan teori Maqasid Syarak, bagaimana prinsip maqasid menjadi tema dan instrumen penyelesaian kepada isu-isu politik Melayu masa kini.

Kajian tentang al-Fiqh as-Siyasi, teori kenegaraan menurut pemikiran Hasan al-Banna telah dibicarakan panjang oleh Dr. Muhammad Abd. Qadir Abu Faris , seorang ulama ikhwan Jordan (al-Fiqh as-Siyasi ‘inda al-Imam Hasan al-Banna). Kita boleh menelaah penulisan dan boleh dibahaskan di samping melihat tulisan Dr. Yusuf al-Qardawi dalam bukunya Fiqh ad-Daulah yang menukilkan beberapa pandangan dan pemikiran Hasan al-Banna.

Namun setelah berlalunya KOBANNA anjuran ISMA yang julung-julung kali diadakan ini, tugas besar terletak kepada pimpinan, ahli dan rakan ISMA untuk berfikir dan bertindak ‘bagaimana mengangkasakan dan membumikan pemikiran dalam konteks masyarakat Melayu hari ini’. Pada hemat dan pemerhatian saya secara peribadi beberapa langkah awal perlu dilakukan agar perbahasan dan konvensyen ini lebih mencapai matlamat dan objektifnya pada masa-masa akan datang ialah:

1. Setiap pembentangan kertas kerja ini perlu diperhalusi dan dibahaskan di peringkat cawangan oleh semua ahli bagi mendapat tasawwur yang menyeluruh tentang kerangka perubahan yang dicanangkan oleh Hasan al-Banna.

2. Perlu ada satu kajian menyeluruh tentang sosio-budaya, sosio-politik, geo-politik, geo-dakwah tentang isu-isu Melayu secara akademik, berfakta dari pakar-pakar agar input yang diperolehi lebih menggarap dan menepati realiti.

3. Konvensyen ini harus menganjak setapak ke depan dengan menjemput tokoh-tokoh akademik, pakar sejarah, pemikir gerakan Islam, ahli politik agar sisi-sisi pandangan mereka boleh dijadikan landasan mengangkasakan idea pemikiran Imam Hasan al-Banna di rantau Melayu.

4. ISMA boleh memulakan langkah awal dengan menubuhkan Institut Kajian Pemikiran al-Banna agar segala idea, pemikiran, tulisan, analisis beliau dapat diadaptasikan dengan jiwa dan ruh Melayu. Ini bukan bermakna kita mencetak bulat-bulat tetapi mengambil inti dan produk pemikiran beliau yang bersifat sejagat dan diterima oleh semua Harakah Islamiah di dunia.

5. Majlis Ulama ISMA boleh menggerakkan usaha mengkaji tulisan tentang teori Maqasid oleh Imam as-Syatibi, karya Imam Ibnu ‘Asyur tentang Maqasid yang diulas Muhammad ’Alal al-Fasi serta mendiskusikannya di dalam seminar-seminar dengan menjemput pakar-pakar dari dalam dan luar negara tentang isu-isu kenegaraan, politik Melayu dan non-muslim di Malaysia. Buku Usul ‘Ifta’ wal Ijtihad at-Tatbiqi fi Nazariyyat Fiqh ad-Dakwah al-Islamiah karangan Muhammad ar-Rasyid boleh dijadikan bahan perbincangan pemula kepada memahami konsep tersebut dalam bab-bab yang berkaitan.

KOBANNA 2010 telah melabuhkan tirainya. Ribuan manusia yang datang samada sebagai sebagai JKP, YDP, tetamu jemputan, ahli ISMA, peserta (rata-rata orang muda) harus kembali menelaah dan membugar pemikiran beliau dari teori kepada praktik. Konvensyen ini tidak harus menjadi medan membugar makna ukhuwwah dan intima’ tetapi perlu disusuli dengan agenda bertindak yang solutif, komprenhensif dan realistik agar usaha mengangkasa dan membumikan pemikiran Hasan al-Banna dalam rantau Melayu punyai impak dan kesan.

Sekalung tahniah buat penganjur namun kerja besar menanti kita semua untuk digalas. Amal menjadi saksi dan hujjah kita di hadapan Allah. Bersama-sama kita, satu pasukan, satu fikrah, satu tarbiyah, satu ISMA kita lestarikan fikrah Imam Hasan al-Banna.

**Post ini diambil dari ismaweb.net**

No comments:

Post a Comment

Sila komen....