02 June 2010

Kenyataan Ikhwan Muslimin berhubung serangan Zionis ke atas Konvoi Kebebasan(Part 1)

(BAHAN DIAMBIL DARIPADA BLOG ISMAWEB.NET)

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang.



Zionis telah melancarkan serangan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan pada Subuh hari Isnin baru-baru ini (31 Mei 2010) ke atas Konvoi Kebebasan yang menuju ke Gaza. Konvoi tersebut adalah untuk membantu rakyat Palestin dan memecahkan kepungan yang telah dikenakan ke atas mereka sejak beberapa tahun yang lalu. Serangan berbentuk ketenteraan yang telah diketuai oleh Komando Tentera Laut Zionis itu sendiri, telah mengakibatkan kematian beberapa orang syuhada’ dan kecederaan beberapa orang aktivis konvoi tersebut.



Ikhwan Muslimin mengecam dengan sepenuhnya serangan dan jenayah Zionis ini ke atas konvoi ini, dan para aktivis di atas kapal itu, serta menegaskan pendirian yang tetap dalam memerangi pihak Zionis dan kekejaman mereka yang berterusan, serta jenayah mereka yang berpanjangan terhadap rakyat Palestin di bumi Palestin, bumi milik orang Arab dan orang Islam.



Dalam suasana yang sangat genting ini, serta berhadapan dengan kekejaman Zionis yang sangat licik yang secara tidak langsungnya telah mengisytiharkan peperangan terhadap para peserta konvoi yang mewakili puluhan negara Islam, Eropah dan Arab, kami menyatakan kepada semua rakyat di seluruh dunia, seluruh warga Arab dan warga Islam, dan kepada seluruh rakyat dunia yang merdeka, untuk mengiklankan kemarahan mereka, dengan sepenuh kekuatan, serta menjalankan segala bentuk penekanan ke atas kerajaan mereka, dan organisasi-organisasi mereka, agar semuanya bertindak dengan segera, untuk menghalang Zionis daripada serangan mereka yang tidak berperikemanusiaan terhadap Konvoi Kebebasan tersebut.



Kami meminta setiap kerajaan Arab dan Islam, secara khususnya di Mesir, untuk melakukan tindakan segera dan bertindak balas terhadap perkara ini, untuk mengelakkan lebih ramai lagi orang yang tidak bersalah menjadi korban, sama ada di atas kapal konvoi tersebut, atau juga rakyat yang berada di bumi Palestin. Wajib bagi mereka untuk membuka sempadan Rafah dengan segera, kerana penutupannya merupakan sebab yang utama kepada apa yang berlaku. Kami menuntut untuk menghalau segera Duta Israel di Kaherah, dan juga di semua ibu negara Arab dan Islam yang mempunyai hubungan dengan Zionis ini, serta memutuskan hubungan dengan mereka secara total. Kami menyeru kepada Liga Arab agar bertindak dan melaksanakan tanggungjawab mereka, dalam menghadapi apa yang berlaku kini, daripada kekejaman Zionis terhadap rakyat Palestin, dan serangan mereka ke atas para aktivis yang ada di atas kapal konvoi tersebut.
Ikhwan Muslimin mendesak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang akan dilakukan oleh Zionis yang berbentuk peperangan yang zalim dan kejam ini. Di manakah segala hukuman peringkat antarabangsa? Dan di manakah peraturan dalam bab ketujuh dalam perjanjian PBB? Dan bilakah pula ia akan digunapakai sekiranya ia tidak ditegaskan pada waktu ini?

Kami juga meminta Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC), dan Persatuan Sekerja, serta Badan-badan Perlindungan Sedunia (WHO), dan juga Institusi-institusi Masyarakat Madani serta Persatuan Hak Asasi Manusia dan setiap manusia yang merdeka di seluruh alam, agar dapat bertindak balas dengan segera terhadap kekejaman Zionis ini, di mana saja mereka berada. Kami juga menyeru mereka agar terus bergerak dan menentang secara konsisten agar dapat menyekat kekejaman mereka yang berterusan ini.



“Dan Allahlah yang menguasai segala urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui” – Surah Yusuf

Kaherah,
17 Jamadil Awal 1431H bersamaan 31 Mei 2010

No comments:

Post a Comment

Sila komen....